Kementerian Pengangkutan rangka pelan penyahkarbonan penerbangan
Afiezy Azaman
November 2, 2023 11:35 MYT
November 2, 2023 11:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka pelan hala tuju penyahkarbonan penerbangan dalam usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai hab penerbangan mampan.
Justeru, Menterinya, Anthony Loke berkata, kerjasama dengan industri penerbangan akan menjadi sangat signifikan dalam merealisasikan usaha berkenaan.
"Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga telah ditugaskan untuk membangunkan insentif pelaburan untuk pengeluaran dan infrastruktur Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), serta rangka kerja komprehensif untuk mandat gabungan jangka panjang.
"Kami komited kepada pendekatan holistik untuk kemampanan penerbangan termasuk kecekapan dan kepakaran teknikal, penambahbaikan teknologi dan langkah berasaskan pasaran," katanya semasa ucapan CAPA Asia Aviation Summit & Sustainabiliti Awards 2023, di Sepang, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, pihaknya menyedari menyedari usaha ke arah penyahkarbonan penerbangan memerlukan kerjasama, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan serta insentif untuk meningkatkan pengeluaran dan penggunaan bahan api penerbangan yang mampan.
Jelasnya, visi MOT adalah untuk sektor penerbangan Malaysia berakar umbi dalam kemampanan dan ia digariskan dalam Dasar Pengangkutan Negara (NTP) 2019-2030, yang menekankan penggunaan sumber yang cekap dan mampan di samping meminimumkan pencemaran alam sekitar.
"Kami memahami keperluan mendesak untuk mengurangkan jejak karbon dan mempromosikan masa depan yang lebih hijau. Maka, kami berdedikasi untuk tujuan ini dan sedang giat berusaha ke arah amalan dan penyelesaian yang mampan.
"Untuk menambah wawasan ini, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia yang dikeluarkan pada Ogos menangani keperluan untuk kejelasan dan panduan dalam penyahkarbonan sektor penerbangan," ujarnya.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut menarik perhatian mengenai Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mana kejayaannya akan bergantung kepada rangkaian penerbangan yang mantap.
Sehubungan itu, beliau berharap akan mempunyai lebih banyak penerbangan dan sambungan antara Malaysia dan rantau ini.
"Pada masa yang sama, adalah penting untuk kita meletakkan asas sekarang untuk memastikan pengembangan boleh dan akan dilakukan secara mampan," jelas beliau.