Kementerian Pengangkutan kaji cadangan bas e-hailing - Loke

Bernama
Oktober 23, 2019 06:58 MYT
Loke (dua, kanan) diiringi Soh (kiri) dan Steven (kanan) pada majlis Makan Malam FMM di Seremban malam tadi. --fotoBERNAMA
Kementerian Pengangkutan sedang melihat kepada konsep baharu dalam sistem pengangkutan awam termasuk mempertimbangkan perkhidmatan bas e-hailing.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata kementerian itu baru-baru ini menerima satu cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan bas e-hailing dan ia memandang serius cadangan berkenaan.
"Dengan nama bas yang diminta, anda boleh meminta bas untuk datang, di mana lokasi pengambilan penumpang dan ke mana hendak dihantar tetapi berdasarkan kelulusan dan peraturan.
"Buat masa ini kami sedang melihat untuk mengkaji semula peraturan membenarkan bas mengambil penumpang dan menghantar mereka ke destinasi diminta dan bukannya di perhentian bas. Ini adalah idea dan cadangan yang kami sedang meneliti," katanya di sini malam tadi.
Loke berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Makan Malam Tahunan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) di sini.
Turut hadir Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai dan Pengerusi FMM Negeri Sembilan Steven Aroki.
Loke berkata kementeriannya menyedari ada kawasan perumahan dan industri tidak diliputi sepenuhnya oleh sistem pengangkutan awam.
Beliau juga berharap perkhidmatan ini dapat dilancarkan tidak lama lagi bagi memastikan ia boleh memenuhi keperluan mereka yang tidak mendapat akses kepada sistem pengangkutan awam.
"Peranan kami ialah memastikan perjalanan lancar untuk penduduk dan barangan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata jajaran baharu untuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah dimuktamadkan dan akan dipamerkan untuk orang awam awal bulan depan.
Projek ECRL bermula dari Kota Bharu, Kelantan melalui Mentakab, Pahang; Kuala Klawang dan Nilai, Negeri Sembilan; Bangi/Kajang, Selangor; Putrajaya dan berakhir di Pelabuhan Klang.
-- BERNAMA
#Anthony Loke #Anthony Loke Siew Fook #bas #e-hailing #ECRL #jajaran baharu #kawasan perumahan #Kementerian Pengangkutan #Laluan Rel Pantai Timur #Loke Siew Fook #pengangkutan awam
;