Kementerian Pengangkutan cadang tambah had muatan lori
Mariah Ahmad
Mei 3, 2016 16:21 MYT
Mei 3, 2016 16:21 MYT
Kementerian Pengangkutan bercadang meningkatkan had muatan lori sedia ada, kata menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Ujar beliau, Kementeriannya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kajian mengenai had muatan lori sedia ada.
"Ada rayuan daripada persatuan pengusaha lori untuk meningkatkan lagi muatan yang ada sekarang. Jadi kita akan buat kajian dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.
"Kajian ini juga adalah untuk melihat had muatan lori secara optimum memandangkan kita tidak boleh membawa muatan yang lebih kerana ia akan merosakkan jalan dan membahayakan pengguna jalan raya."
Beliau berkata demikian dalam sidang media Ops Cantas Khas Tonto di Dewan Auditorium Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Jelasnya, pengumuman mengenai kajian itu akan dilakukan dalam masa terdekat.