Kementerian Pengangkutan arah siasatan rapi insiden tayar pesawat kempis

Bernama
Mei 3, 2017 18:28 MYT
LIOW: Itu adalah satu kemalangan yang serius kerana ia jarang berlaku di KLIA.
Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk menjalankan siasatan rapi terhadap insiden dua tayar pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH726 dari Jakarta mengempis selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian memandang serius kejadian itu dan siasatan sedang dilakukan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Saya sudah arahkan DCA memberikan laporan siasatan itu. Kita tahu kemalangan itu tidak sepatutnya berlaku. Itu adalah satu kemalangan yang serius kerana ia jarang berlaku di KLIA. Insiden sekecil mana pun, kita akan siasat dan tunggu laporan kelak.
"Kita akan siasat semua sudut termasuk tayar yang digunakan, landasan, keadaan cuaca sama ada angin kencang dan apakah yang menyebabkan tayar itu pecah. Kita juga akan siasat penyelenggaraan Malaysia Airlines agar tahu punca dan pastikan isu dapat diselesaikan," katanya.
Liow ditemui pemberita selepas majlis penyertaan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dalam inisiatif Negaraku, yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Katanya Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman akan melihat keadaan itu sendiri di KLIA dan menyiasat secara mendalam.
Berikutan insiden itu, tindakan susulan telah diambil bagi memastikan semua infrastruktur, landasan, keselamatan dan sekuriti di KLIA dipertingkatkan dari semasa ke semasa, katanya.
Susulan insiden pada 7.13 pagi semalam yang membabitkan pesawat Boeing 738, Landasan 2 di KLIA ditutup sehingga diberitahu kelak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Peter Bellew berkata kejadian tayat kempis itu boleh disebabkan satu serpihan sama ada ia berada di landasan semasa penerbangan itu berlepas di Jakarta atau semasa mendarat di KLIA.
"Kami tidak pasti namun kami menjalankan siasatan menyeluruh. Ia hanya seperti mempunyai tayar yang kempis namun tayar ini sangat mahal. Ia menyebabkan berlaku beberapa kerosakan kepada pesawat itu tetapi tidak ada drama. Kami memohon maaf di atas punca kelewatan. Keselamatan sentiasa diutamakan," katanya.
-- BERNAMA
#keselamatan #KLIA #Liow Tiong Lai #Malaysia Airlines #penerbangan #penerbangan Malaysia #pesawat #tayar kempis
;