Kementerian Pendidikan siasat dakwaan wujud sindiket jual soalan SPM 2016

Astro Awani
November 14, 2016 13:39 MYT
KPM berjanji sekiranya benar, akan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang bertanggung jawab selain mendakwa mereka. - Gambar hiasan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memaklumkan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan kononnya wujud sindiket penjualan soalan-soalan SPM 2016 seperti yang dilaporkan oleh akhbar China Press pada Ahad 13 November 2016.
Kementerian itu juga memandang serius dakwaan itu yang disiarkan oleh akhbar berbahasa cina itu semalam.
“KPM memandang serius terhadap perkara yang disiarkan akhbar tersebut.
“KPM sedang menjalankan siasatan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Susulan itu, KPM berjanji sekiranya benar, akan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang bertanggung jawab selain mendakwa mereka.
Rabu lalu, Kementerian Pendidikan menafikan berlakunya kebocoran kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 seperti yang disebarkan melalui media sosial.
Kementerian itu juga berkata siasatan dijalankan Lembaga Peperiksaan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran kertas tersebut dan tiada keperluan untuk menduduki peperiksaan ulangan.
#China Press #Kementerian Pendidikan Malaysia #KPM #SPM 2016
;