Kementerian Pendidikan puas hati keputusan SPM meningkat

Adie Sufian Zulkefli
Mac 15, 2018 17:07 MYT
Mahdzir (tiga, kiri) menyemak slip keputusan SPM seorang pelajar, Muhammad Ammar Hassan@Zakaria yang memperolehi 10A pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang, 15 Mac, 2018. --fotoBERNAMA
Kementerian Pendidikan berpuas hati dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 0.15 dalam Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 4.90 berbanding 5.05 bagi tahun sebelumnya.
Menurut Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid, subjek aliran sains seperti Matematik, Fizik, Kimia dan Sains Tambahan menunjukkan prestasi yang baik walaupun berlaku sedikit penurunan bagi Biologi.
"Prestasi sekolah, dari segi subjek, juga meningkat. Jumlah pelajar yang mendapat skor A juga meningkat. Jadi, ini suatu yang membanggakan.
"Secara keseluruhannya, boleh dikatakan bahawa, ada peningkatan yang baik untuk keputusan SPM tahun 2017," katanya selepas menemui 12 pelajar cemerlang SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Ahmad di sini, hari ini.
Pertemuan itu diadakan di rumah salah seorang calon SPM, Syarafana Diyanah Shaharuddin, di Kampung Baru, dekat sini.
Terdahulu, Mahdzir yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap hadir pada majlis pengumuman keputusan SPM 2017 di sekolah tersebut.
Beliau berkata, calon SPM kali ini turut menunjukkan prestasi memberangsangkan iaitu GPN 4.75 berbanding 4.89 pada 2016, bagi calon bandar, dan 5.22 berbanding 5.36 pada 2016 bagi calon luar bandar.
"Malah, berdasarkan kualiti jawapan calon, 27 peratus daripada mereka menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tahap tinggi, 39 peratus tahap sederhana dan 34 peratus tahap rendah," tambahnya.
Selain itu, sebanyak 48 dari 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 23 mata pelajaran mencatatkan penurunan, manakala prestasi dua mata pelajaran tidak berubah.
#Kedah #Mahdzir Khalid #SPM
;