Kementerian Pendidikan peka beban tugas guru

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Mac 19, 2018 14:45 MYT
Kementerian turut mengurangkan beban aktiviti yang tidak melibatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta memudahkan tugas memasukkan data murid.
Kementerian Pendidikan kini mencari jalan terbaik dalam menangani bebanan tugas yang ditanggung para guru seluruh di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata pihak kementerian turut terbuka dalam menerima pandangan dan maklum balas daripada kira-kira 500,000 warga pendidik berhubung perkara itu.
"Kita di kementerian sentiasa mencari kaedah-kaedah yang dapat meringankan beban guru. Apabila kita melaksanakan inisiatif-inisiatif ini, yang penting ialah kemenjadian murid.
"Malah, kita akan sentiasa melihat cara-cara untuk meringankan beban ini dan percayalah kita menghargai jasa baik, pengorbanan dan segala inisiatif yang diambil oleh semua pendidik," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin tahu langkah diambil kementerian bagi memastikan guru tidak terus terbeban dengan tugasan mereka.
Kamalanathan berkata kementerian telah melaksanakan tujuh langkah untuk mengurangkan bebanan tugas guru termasuk memperhalusi kaedah pengoperasian dan pengurusan sekolah yang lebih mengutamakan keberhasilan pembelajaran murid.
Tambahnya, kementerian turut mengurangkan beban aktiviti yang tidak melibatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta memudahkan tugas memasukkan data murid.
Jelasnya, Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 juga turut menggariskan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban guru dan salah satunya adalah penggunaan sistem teknologi terkini bagi memudahkan kerja guru.
#Beban #guru #inisiatif #Kementerian Pendidikan #p kamalanathan #pendidik #tugas
;