Kementerian Pendidikan main peranan penting dalam masyarakat global - Khair
Bernama
Oktober 7, 2016 10:00 MYT
Oktober 7, 2016 10:00 MYT
Kementerian Pendidikan memainkan peranan amat penting dalam merealisasikan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan masyarakat global ke arah berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam membangunkan bidang pendidikan.
Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (PKTM), kementerian percaya bahawa pembangunan modal insan telah memperkukuhkan keseluruhan kemajuan tersebut.
"PKTM secara konsisten telah menekankan bahawa pembangunan sumber manusia melalui penyediaan latihan dalam pelbagai bidang, penting bagi pertumbuhan sesebuah negara.
"Sejak program latihan pertama bagi negara-negara jiran ASEAN pada 1981, PKTM kini menawarkan lebih 100 kursus jangka pendek yang khusus merangkumi penyelidikan perubatan, penerbangan awam dan latihan guru," katanya ketika menutup program latihan Bahasa Inggeris dalam talian kepada tenaga pengajar di Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) di sini pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Dr Zainal Aalam Hassan.
Khair berkata PKTM pada masa ini ditawarkan oleh lebih 50 institusi di Malaysia yang kebanyakannya adalah pusat latihan kecemerlangan.
"Program ini amat berjaya apabila kira-kira 25,000 peserta dari 140 negara telah mendapat manfaat daripada pelbagai program yang ditawarkan di bawah PKTM.
"Program ini memberi kami peluang mengukuhkan hubungan dua hala serta menggalakkan kerjasama teknikal antara Malaysia dan rakan-rakan negara membangun. Saya berharap program ini akan meningkatkan lagi pertukaran dan inisiatif yang memberi faedah bersama kepada negara masing-masing," katanya.
Sebanyak 16 peserta dari 12 negara iaitu Azerbaijan, Bhutan, Kemboja, Indonesia, Laos, Nepal, Filipina, Turkmenistan, Tuvalu, Uzbekistan, Vietnam dan Zambia, menyertai program berkenaan.
PKTM mula dicetuskan melalui Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel Pertama (CHOGM) di Sydney pada Februari 1978. PKTM telah dilancarkan secara rasmi pada 7 Sept 1980 semasa CHOGM di New Delhi, India, untuk menandakan komitmen Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan, khususnya Kerjasama Teknikal dalam kalangan negara-negara membangun (TCDC).
Selaras dengan semangat Kerjasama Selatan-Selatan, Malaysia melalui PKTM berkongsi pengalaman pembangunan dan kepakaran dengan negara-negara membangun, dan program itu memberi penekanan bahawa pembangunan sesebuah negara bergantung kepada kualiti sumber manusia.