Kementerian Pendidikan ketatkan SOP kertas soalan UPSR

Astro Awani
September 29, 2014 19:43 MYT
Langkah itu bertujuan menghadkan bilangan individu yang bertanggungjawab dalam mengendalikan kertas peperiksaan itu. - Gambar Fail
Kementerian Pendidikan akan mengetatkan proses penyediaan dan pengagihan kertas soalan peperiksaan UPSR berkuatkuasa serta merta.
Langkah itu, menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, bertujuan menghadkan bilangan individu yang bertanggungjawab dalam mengendalikan kertas peperiksaan itu dan bagi memastikan insiden kebocoran kertas-kertas peperiksaan UPSR tidak berulang.
“Setiap operasi saya tidak akan cerita dan memang ada perubahan kalau dulu peringkat Ketua Pengawas sahaja, tetapi kali ini dia akan disimpan pihak sekolah dan guru besar sahaja,”
“Tidak seramai hari itu, lebih terhad lebih terkawal dan terurus lagi. Yang dulu tidak ada kurangnya tetapi kita tingkatkan lagi supaya tidak ramai yang terlibat,” kata Khair dalam sidang akhbar selepas melawat lima sekolah di sekitar Kuala Lumpur bagi memantau persiapan peperiksaan ulangan UPSR pagi tadi.
Antara sekolah itu adalah SK Jalan Bellamy, SJKC Jalan Davidson dan SK Taman Tun Dr Ismail 1.
Empat peperiksaan matapelajaran UPSR terpaksa diduduki semula setelah ia didapati bocor.
Kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris akan diadakan 30 September manakala Matematik dan Bahasa Tamil pada 9 Oktober.
Lebih 400 ribu murid tahun 6 seluruh Malaysia akan menduduki semula keempat-empat mata pelajaran itu.
#bocor #integriti #khair mohamad yusof #peperiksaan #SOP #UPSR
;