Kementerian Pendidikan kecewa dengan 'latihan ular' di sekolah

T K Letchumy Tamboo
Oktober 18, 2016 17:14 MYT
Kementerian Pendidikan hari ini menyatakan kekecewaannya terhadap sebuah latihan meredah kolam berisi ular yang di jalankan di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.
Kementerian Pendidikan hari ini menyatakan kekecewaannya terhadap sebuah latihan meredah kolam berisi ular yang di jalankan di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata pihaknya kini sedang menyiasat latihan tersebut, yang di jalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selepas sekolah berkenaan membuat aduan kepada jabatan pendidikan daerah.
“Kementerian mempunyai hubungan yang baik dengan APM tetapi kejadian ini memberikan impak ke atas pelajar-pelajar sekolah dan ia sangat dikesali.
“Siasatan awal menunjukkan bahawa para guru di sekolah itu membantah latihan berserta ular itu, namun jurulatih kem itu meyakinkan mereka bahawa ular yang digunakan tidak berbisa dan pelajar-pelajar tidak akan dicederakan dalam apa jua cara sekalipun,” kata beliau dalam satu pesanan mesej ringkas kepada Astro AWANI.
Sementara itu, Kamalanathan berkata pihak APM telah menggantung modul latihan berkenaan bagi memberi laluan kepada penyiasatan sama ada terdapat pelanggaran operasi prosedur standard (SOP) semasa ia dijalankan.
Tambahnya, kementerian sedang menunggu dan memantau siasatan dan akan memastikan insiden tersebut tidak berulang pada masa akan datang kepada mana-mana pelajar.
Video yang memaparkan pelajar-pelajar dipaksa meredah kolam berisi ular itu, viral di media sosial, selepas ia dikongsikan oleh laman facebook ‘Friends of PDRM’.
#Kuala Kangsar #P. Kamalanathan #sekolah #ular
;