Kementerian Pendidikan kaji syor pemeriksaan kesihatan secara rutin

Bernama
Jun 16, 2016 08:07 MYT
Kementerian Pendidikan akan mengkaji syor supaya pegawai perkhidmatan pendidikan menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan kesihatan secara rutin selagi masih bertugas. - Gambar fail
Kementerian Pendidikan akan mengkaji syor supaya pegawai perkhidmatan pendidikan menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan kesihatan secara rutin selagi masih bertugas.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pemeriksaan kesihatan secara rutin perlu dikaji kerana terdapat pegawai perkhidmatan pendidikan yang tidak sedar mereka menghidap penyakit seperti kencing manis, paras kolestrol tinggi dan tekanan darah tinggi.
"Jadi saya ingin mengesyorkan supaya kajian dibuat mengenai tempoh pemeriksaan kesihatan pegawai perkhidmatan pendidikan. Kalau boleh kena ada satu rutin pemeriksaan kesihatan.
"Kalau tidak, setiap tahun pun perlu ada tempoh masa tertentu (untuk pegawai perkhidmatan pendidikan menjalani pemeriksaan kesihatan)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar 2016 Kementerian Pendidikan di sini pada Rabu.
Ditanya mengenai kecenderungan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah swasta pada masa ini, Mahdzir berkata masih ramai yang pergi ke sekolah kebangsaan, dan perkembangan itu tidak bermakna masyarakat tidak lagi suka anak masing-masing belajar di sekolah kerajaan.
"Pada masa ini terdapat lebih 7,000 sekolah rendah di seluruh negara di mana 1,300 adalah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, 500 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil dan selebihnya sekolah kebangsaan," katanya.
Mahdzir berkata di bandar raya seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru, terdapat sekolah swasta dan ia menjadi pilihan sesetengah golongan pertengahan.
"Pada saya, ibu bapa kini ada pilihan. Sekolah swasta masih mengikut kurikulum kebangsaan, namun ia elit dari segi kelas dan jumlah pelajar. Tapi kena bayar," katanya.
Dari Januari hingga Mei 2016, terdapat 152,765 pelajar warganegara Malaysia di 416 sekolah swasta di seluruh negara, jelasnya.
#Mahdzir Khalid #Menteri Pendidikan #pemeriksaan kesihatan
;