Kementerian Pendidikan kaji guna buku teks digital, teliti pelaksanaan

Harits Asyraf Hasnan
Mac 14, 2018 12:59 MYT
Kementerian Pendidikan sedang mengkaji penggunaan buku teks digital atau e-book bagi menggantikan buku teks yang digunakan secara konvensional pada ketika ini. - Gambar hiasan
Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengkaji penggunaan buku teks digital atau e-book bagi menggantikan buku teks yang digunakan secara konvensional pada ketika ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata beberapa perkara perlu diteliti termasuk penyediaan peranti serta kos yang akan ditanggung Kerajaan.
"Memang KPM dalam proses membuat kajian melibatkan beberapa buku teks untuk menjadikannya sebagai buku digital. Bukanlah sesuatu 'rocket science' (sukar) untuk menjadikannya dalam fail PDF ataupun menjadikannya dalam fail digital.
"Cuma dalam pelaksanaannya nanti, kalau sepenuhnya kita letakkan (laksanakan) buku teks digital tersebut, masalah yang timbul ialah bagaimana pelaksanaan nanti.
"Sama ada anak-anak kita perlu membawa 'tab' atau peranti mereka sendiri atau perlu dibekalkan oleh kerajaan. Semua perkara-perkara tersebut perlu diambil kira termasuk kos pelaksanaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang bertanyakan bilakah KPM akan melaksanakan buku teks digital seiring Revolusi Perindustrian 4.0.
Tambah Sin Woon, pada ketika ini terdapat syarikat yang sedang menjalankan percubaan e-teks di mana laporannya akan dibentangkan ke Dewan Rakyat selepas kajian yang dilakukan KPM selesai.
#buku teks digital #Chong Sin Woon #digital textbook #e-books #industrial revolution 4 0 #Kementerian Pendidikan #KPM #Revolusi Perindustrian 4 0
;