Kementerian nafi sekolah lambat buat laporan kehilangan murid
Bernama
September 8, 2015 09:30 MYT
September 8, 2015 09:30 MYT
Kementerian Pendidikan menafikan Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi bertindak lewat untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang kehilangan tujuh murid Orang Aslinya sejak 23 Ogos lepas.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihak sekolah mencari murid berkenaan terlebih dahulu sebelum membuat laporan di Balai Polis Gua Musang, yang terletak kira-kira dua hingga tiga jam perjalanan dari sekolah.
"Mereka (pihak sekolah) sampai di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang pada 12 tengah malam (24 Ogos) dan selesai membuat laporan polis kira-kira 2 pagi keesokan hari (25 Ogos). Itu yang didakwa satu hari lewat, sedangkan laporan itu adalah pada hari yang sama," katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bersama Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamed Yusof.
Menurut Mahdzir, selepas mendapat maklumat tentang kehilangan enam pelajar perempuan dan seorang lelaki berusia tujuh hingga 11 tahun, guru dan kakitangan SK Tohoi berusaha mencari mereka terlebih dahulu.
Ketujuh-tujuh murid Orang Asli itu bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.
Menteri Pendidikan itu berkata, pihak sekolah terpaksa menggunakan jalan-jalan balak yang berbukit di dalam keadaan hujan untuk sampai ke Gua Musang bagi membuat laporan polis tentang kehilangan murid-murid itu.
Operasi mencari dan menyelamat murid-murid yang hilang itu sedang giat dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Relawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Mengenai peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama tiga hari yang akan bermula esok, Mahdzir berkata, pihaknya bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia dan jabatan-jabatan pendidikan negeri telah membuat persiapan rapi.
Beliau berharap menerusi persiapan rapi yang dilakukan akan mengelak berulangnya insiden kebocoran kertas soalan seperti yang berlaku pada tahun lepas dan sebelum ini.
"Tindakan sepatutnya telah pun diambil," kata Mahdzir.