Kementerian Luar sahkan pelajar Malaysia maut kemalangan ski di Perancis
Astro Awani
Januari 25, 2016 18:45 MYT
Januari 25, 2016 18:45 MYT
Kementerian Luar mengesahkan seorang pelajar Malaysia di Perancis, Affiah Ariffin Hew, meninggal dunia sehari selepas terbabit dalam kemalangan ketika bermain ski di Nice, Perancis, Jumaat lepas.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar, Affiah dilapor dibawa ke Hospital Nice dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada 24 Januari.
"Keluarganya turut berada di sisi Affiah semasa pemergiannya.
"Kementerian Luar Negeri ingin mengucapkan takziah kepada keluarganya dan bersedia membantu keluarga dalam proses membawa kembali jenazah ke Malaysia," jelas kenyataan itu.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan ibu mangsa, Latipah Madon yang kini berada di Perancis mengesahkan anaknya meninggal dunia kira-kira 7 malam Sabtu waktu tempatan (2 pagi Ahad waktu Malaysia) ketika dirawat di Hospital Chu Pasteur di Nice.
Ujarnya, urusan membawa pulang jenazah anaknya ke Malaysia dijangka mengambil masa antara dua dan tiga hari.
Kata Latipah, dia berlepas ke Perancis pada pagi Sabtu lalu selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu.
Sementara itu, Persatuan Pelajar Malaysia di Perancis (MASAF) menerusi laman Facebooknya menyatakan Affiah terbabit dalam kemalangan ketika berski di Nice.
Menurut MASAF, mangsa dibawa ke Hospital Chu Pasteur untuk rawatan dan dikatakan berada dalam keadaan koma.
MASAF turut menzahirkan perasaan dukacita, hiba dan pilu dengan kejadian berkenaan selain merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Affiah.