Kementerian Luar pantau rapat perkembangan di Sudan
Astro Awani
April 15, 2023 00:51 MYT
April 15, 2023 00:51 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Luar Negeri mengesahkan semua 29 warganegara Malaysia yang berdaftar di Sudan berada dalam keadaan selamat susulan pertempuran antara Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RFS).
Menerusi satu kenyataan, kementerian itu sedang mengawasi situasi di Khartoum, selepas berlaku pergaduhan antara dua pihak berkenaan pada Sabtu, sekali gus menyebabkan ketidakstabilan politik dan isu keselamatan di negara tersebut.
“Kedutaan Malaysia di Khartoum mengesahkan bahawa beberapa kawasan di dalam bandar ini masih mengalami ketidakstabilan selepas insiden ini.,” jelas Wisma Putra malam tadi.
Semua 29 rakyat Malaysia yang berdaftar di Sudan, terutamanya pelajar, telah disahkan selamat.
"Kedutaan sedang berhubung rapat dengan mereka dan menyediakan bantuan yang diperlukan," tambah kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang merancang untuk melancong ke Sudan dinasihatkan untuk menunda perjalanan mereka sehingga keadaan di negara itu stabil.
Kedutaan Malaysia yang kini beroperasi sementara dari kediaman Duta Malaysia ke Sudan boleh dihubungi menerusi telefon: +249 90 075 3633 atau +249 18 328 6379 dan e-mel di mwkhartoum@kln.gov.my
Bilik operasi Wisma Putra di ibu negara boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 / +603-8887 4770 / +603-8887 4445.