Kementerian Luar panggil Duta Sweden, kecam insiden bakar al-Quran

Nickyson Nyambar
Julai 24, 2023 22:14 MYT
Kementerian Luar menegaskan, tindakan yang dilakukan atas dasar 'kebebasan bersuara' itu harus dinilai semula selain mengambil langkah segera untuk menamatkan 'Islamofobia berstruktur'. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR : Kementerian Luar Negeri pada Isnin telah memanggil Duta Besar Sweden ke Malaysia, Dr. Joachim Bergström bagi menzahirkan kecaman keras kerajaan Malaysia terhadap tindakan menghina kitab suci al-Quran di Stockholm, Sweden pada 20 Julai 2023 lalu.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menegaskan, tindakan yang dilakukan atas dasar 'kebebasan bersuara' itu harus dinilai semula selain mengambil langkah segera untuk menamatkan 'Islamofobia berstruktur'.
"Ini merupakan kali ketiga tindakan keji tersebut dilakukan di Sweden pada tahun ini selepas insiden pertama dan kedua pada Januari dan Jun.
"Semasa pertemuan tersebut, pihak kementerian menegaskan kembali bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap kerajaan Sweden yang telah memberikan kelulusan serta membenarkan tindakan menghina al-Quran dilakukan berulang kali di Sweden dengan alasan 'kebebasan bersuara'.
"Walaupun cubaan membakar al-Quran tersebut gagal, tindakan provokatif memijak kitab suci ini tetap mengakibatkan kegusaran dan menyinggung jutaan umat Islam seluruh dunia," jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan, Kementerian Luar juga telah menegaskan kepada Duta Besar Sweden bahawa kebebasan bersuara perlu diamalkan dengan penuh tanggungjawab serta mengambil kira sensitiviti
agama serta kepelbagaian komuniti global.
"Perbuatan tidak menghormati mana-mana agama berpotensi mencetuskan kebencian dan akan menjejaskan keharmonian serta budaya hidup bersama secara aman di kalangan masyarakat yang berbilang agama," jelas kenyataan itu.
Pada 28 Jun, seorang warga Sweden yang berasal dari Iraq dilaporkan mengoyakkan senaskah al-Quran sebelum membakarnya di hadapan Masjid Stockholm semasa demonstrasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden.
Insiden itu berlaku ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut perayaan Aidiladha.
#Duta Besar Sweden #Dr Joachim Bergstrom #kerajaan malaysia #Al-Quran
;