Kementerian Luar lantik penasihat khas mengenai Afghanistan - Saifuddin

Bernama
September 26, 2021 08:50 MYT
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata pengalaman luas Ahmad Azam dapat membantu Wisma Putra memperoleh lebih maklumat mengenai Afghanistan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar melantik Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Datuk Ahmad Azam Ab Rahman sebagai penasihat khas Wisma Putra mengenai Afghanistan.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata pengalaman luas Ahmad Azam dapat membantu Wisma Putra memperoleh lebih maklumat mengenai Afghanistan.
"Selain memberikan maklumat dan nasihat, beliau juga membantu Wisma Putra untuk mempermudah usaha kemanusiaan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.
"Melihat kepada keadaan sekarang, sangat penting bagi kita untuk terus berhubung dengan sumber boleh dipercayai dan Datuk Ahmad Azam punyai kelebihan.
"Ini sangat penting untuk membolehkah kita lebih memahami dengan betul mengenai perkembangan terbaru itu. Sudah tentu Wisma Putra akan guna pelbagai sumber lain tetapi pengalaman beliau membantu kami dapatkan maklumat tambahan lain yang penting," katanya.
Beliau mengumumkan pelantikan itu pada Persidangan KL mengenai Afghanistan: Re Emergence of a Nation, pada Ahad. Acara ini anjuran bersama Global Peace Malaysia (GPM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ahmad Azam juga adalah pengerusi GPM.
#Kementerian Luar #penasihat khas mengenai Afghanistan #Ahmad Azam Ab Rahman #Wisma Putra #Saifuddin Abdullah