Kementerian Luar lancar kempen sumbangan kemanusiaan mangsa gempa bumi Turkiye, Syria

Bernama
Februari 10, 2023 17:36 MYT
Gempa bumi kuat itu turut menjejaskan Syria dengan hampir 1,347 orang dilaporkan terkorban dan lebih 2,295 yang lain cedera. - Foto REUTERS
PUTRAJAYA: Bagi meringankan beban mangsa bencana gempa bumi yang melanda Turkiye, Syria dan negara-negara sekitar, Kementerian Luar melancarkan kempen sumbangan kemanusiaan melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) bermula 10 hingga 23 Feb ini.
Menurut satu kenyataan, TBKLN yang telah ditubuhkan pada 2006 adalah bertujuan untuk mengumpul serta menyelaras sumbangan daripada orang awam di Malaysia bagi membantu mangsa bencana alam di luar negara.
"Atas keprihatinan dan semangat Malaysia Madani, usaha murni ini diteruskan lagi dengan mengumpul dana sumbangan kemanusiaan bagi membantu mangsa gempa bumi yang terkesan.
"KLN mengalu-alukan orang ramai, kumpulan korporat dan perniagaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan sumbangan melalui TBKLN. Sumbangan yang dibuat adalah layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967," menurut kenyataan itu.
Sumbangan boleh dibuat menerusi keterangan seperti berikut:
Nama Akaun: Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri
Nama Bank: Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Putrajaya
Nombor Akaun : 1054 9000 0599
Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, butiran sumbangan hendaklah disertakan melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Sekretariat TBKLN melalui emel tbkln@kln.gov.my.
Menurut angka rasmi terkini, lebih 16,540 orang terbunuh manakala 66,130 yang lain cedera di 10 wilayah Turkiye setakat ini, berikutan dua gempa bumi kuat masing-masing bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang menggegarkan wilayah selatan negara itu pada Isnin.
Gempa bumi kuat itu turut menjejaskan negara jiran Syria dengan hampir 1,347 orang dilaporkan terkorban dan lebih 2,295 yang lain cedera. Kesan gegaran juga dilaporkan dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Pada Selasa, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa, bagi memastikan misi mencari dan menyelamat (SAR) berjalan lancar.
-- BERNAMA
#Gempa Bumi Turki #Turkiye #Kementerian Luar #Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri
;