Kementerian Luar bersedia bantu urusan jemaah haji

Bernama
Mei 25, 2021 19:05 MYT
Kerajaan masih menunggu pengumuman rasmi daripada Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim haji kali ini.- Gambar fail/ AP
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar sedia membantu menyelaraskan urusan jemaah haji Malaysia mengikut bidang kuasa kementerian itu sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu dilaksanakan tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata buat masa ini, Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu.
"Sekiranya ibadah haji dibenarkan dan ia turut melibatkan umat Islam dari luar Arab Saudi, kita perlu meneliti jumlah keseluruhan jemaah haji dari seluruh dunia yang dibenarkan serta kuota untuk jemaah haji Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.
BACA: TH masih tunggu pengumuman rasmi Arab Saudi berkaitan kuota jemaah haji
Selain itu, beliau berkata setiap agensi dan pihak berkuasa terlibat perlu bekerjasama bagi memastikan rakyat Malaysia yang akan ke tanah suci untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkaitan keperluan vaksinasi yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Menurut Hishammuddin, beliau senada dengan kenyataan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam mengenai pelaksanaan ibadah haji.
Zulkifli berkata kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim haji kali ini.
#Haji #Kementerian Luar #Hishammuddin Hussein #Arab Saudi #bidang kuasa #Malaysia
;