Kementerian Komunikasi terus pastikan kebajikan pengamal media terbela - Fahmi

Bernama
Januari 21, 2025 14:45 MYT
Fahmi menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA ketika menziarahi bekas Editor Bernama Zabidi Ishar (dua ,kiri) yang menghidap masalah lemah paru-paru dan jantung bengkak.- Foto Bernama
KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi akan terus mengutamakan kebajikan dan keperluan pengamal media, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata antara lain kementerian itu menyediakan sumbangan dan bantuan, serta keperluan lain kepada pengamal media yang berhadapan pelbagai kesukaran.
"Kita bantu semua wartawan sambilan atau stringer untuk mendapatkan perlindungan yang dikendalikan Bernama...Kita akan bantu apa yang patut," katanya pada sidang media selepas bersarapan pagi bersama warga Kelab Media Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan meneliti keperluan wartawan untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.
Pada 15 Ogos 2024, Bernama dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi memperluas perlindungan sosial kepada pengamal media sambilan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), dan ia merupakan inisiatif kerajaan bagi menambah baik program perlindungan sosial, terutama bagi pengamal media yang sentiasa berdepan pelbagai cabaran semasa menjalankan tugas.
SKSPS dimanfaatkan seramai 493 pengamal media sambilan daripada 45 organisasi media di seluruh negara dengan nilai caruman sebanyak RM232.80 setiap individu bagi tempoh setahun bermula 1 Julai 2024.
Sementara itu, mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia Fahmi berkata ia akan dibentang pada sidang Parlimen yang akan datang.
"Insya-Allah pada sidang Parlimen akan datang dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kita akan melakukan bacaan kedua bagi Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia.
"Saya harap akan dapat meletakkan dan memartabatkan media dalam negara kita, selain menjadikan sektor media sebagai industri bukan hanya mampan tetapi mampu mengusahakan kawalan kendiri tentang beberapa perkara," katanya.
Fahmi berkata ia adalah penting untuk menjamin kebebasan media, selain etika kewartawanan dan profesionalisme bidang itu sentiasa berada pada tahap yang baik.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada Kelab Media Kelantan untuk aktiviti kelab berkenaan.
-- BERNAMA
#kementerian komunikasi #Fahmi Fadzil #pengamal media #kebajikan
;