Kementerian Komunikasi teliti perlindungan kepada pemain industri hiburan, pengamal media
Bernama
Februari 20, 2024 20:12 MYT
Februari 20, 2024 20:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi sedang mencari penyelesaian terbaik bagi mendapatkan perlindungan kepada pengamal media separuh masa, kru filem, kru muzik dan kru produksi belakang tabir.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam satu hantaran di laman X (dahulunya Twittter) hari ini berkata ramai dalam kalangan seniman negara tidak memiliki sebarang perlindungan selepas mereka bersara.
"Kes Ross Ariffin menjadi gelandangan selama tiga tahun dan kes isteri Allahyarham Pak Jabit (Man Kadir Samsi) yang hidup serba kekurangan telah menemukan saya dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong untuk perbincangan khas berhubung perkara tersebut.
Insya-Allah kerajaan akan menganjurkan kempen kesedaran tentang kepentingan mencarum dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri," katanya.
Komposer Ross Ariffin, 62, dilaporkan menjadi gelandangan lebih tiga tahun sebelum Fahmi mendapatkan bantuan kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang diajukan beliau sendiri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Sebelum ini, Fahmi turut menyampaikan bantuan penumpu oksigen kepada isteri pelakon dan pelawak, Allahyarham Man Kadir Samsi atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit, Raja Maharani Raja Jaafar, 70, yang mengalami masalah kesihatan.
-- BERNAMA