Kementerian Komunikasi bangunkan Kerangka Strategik 2024-2025, dukung dua misi utama kementerian - Fahmi

Bernama
Februari 6, 2024 22:59 MYT
Fahmi berkata visi itu akan direalisasikan dan didukung oleh dua misi utama kementerian iaitu memperkasa jaringan, infrastruktur telekomunikasi serta komunikasi sosial. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi membangunkan Kerangka Strategik Kementerian Komunikasi Tahun 2024-2025, dengan Visi: Masyarakat MADANI Berinfomasi, Berhubung, Berdaya Maju dan Kreatif, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata visi itu akan direalisasikan dan didukung oleh dua misi utama kementerian iaitu memperkasa jaringan, infrastruktur telekomunikasi serta komunikasi sosial, bagi memacu pertumbuhan ekonomi kandungan kreatif; dan memperkukuh masyarakat dengan maklumat yang berkualiti dan berkesan menerusi sumber penerangan dan penyiaran yang berintegriti.
"Visi dan misi ini ditunjangi enam teras strategik, di mana setiap teras dicerakinkan dengan strategi-strategi, program-program yang akan dilaksanakan oleh semua pasukan kerja merentasi jabatan, agensi, bahagian di kementerian, untuk manfaat semua lapisan rakyat di negara ini," katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, hari ini.
Antara teras kerangka strategik kementerian itu termasuklah, memantapkan infrastruktur telekomunikasi dan kebolehcapaian yang berkualiti, memperkukuh dasar dan kawal selia ekosistem telekomunikasi, pos dan kurier negara yang efektif, serta memperkasa perkhidmatan penyiaran yang bekualiti dan dinamik.
Fahmi berkata kerangka tersebut strategik didokumenkan dan menjadi sumber rujukan utama semua warga kerja berpasukan di kementerian, dalam menjajarkan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan bidang keberhasilan Kementerian Komunikasi, dalam menjayakan fasa dua tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-12.
"Saya meminta agar semua warga kerja berpasukan di kementerian ini cakna berkenaan perkara ini. Kita merupakan satu pasukan dan semua perlu berada dalam landasan dan laras bahasa yang sama, serta bergerak seiring ke arah matlamat yang telah disasarkan," katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan syarikat Google pada pagi ini, untuk melihat kepada aspek dari segi keselamatan dalam talian.
Beliau berkata dalam masa terdekat, beliau akan juga bertemu dengan pihak penyedia platform digital seperti Meta , TikTok dan Telegram.
"Kita hendak membincangkan aspek keselamatan dan menggelakan daripada platform-platform ini disalahgunakan mana-mana pihak terutamanya penjenayah yang menyalagunakan platform untuk scam, judi dalam talian dan lain-lain.
"Saya minta kepada warga kementerian kita mestilah selain jadi dari menjadi media rasmi dan lidah rasmi (kerajaan), kitalah juga pihak yang perlu paham teknologi-teknologi ini dan kita juga perlu membantu untuk memastikan penggunaannya lebih baik," tegas beliau.
-- BERNAMA
#aspek keselamatan #media rasmi #platform digital #sumber rujukan
;