Kementerian Kewangan teliti cadangan rakyat berhubung Belanjawan 2021

Bernama
Julai 19, 2020 05:24 MYT
ABDUL RAHIM: Walaupun pada suku pertama tahun 2020 ini Malaysia mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 0.7 peratus tetapi pada suku kedua dan seterusnya akan memberi gambaran sebenar kemerosotan ekonomi global dan kesannya kepada negara.- BERNAMA
KOTA KINABALU: Kementerian Kewangan akan meneliti setiap cadangan dikemukakan rakyat dan golongan berkepentingan bagi merangka Belanjawan 2021 yang dijadualkan dibentangkan pada Oktober depan, seterusnya pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri berkata kerajaan akan cuba melakukan yang terbaik untuk negara dengan merangka instrumen terbaik dan pada masa sama memerhati kejayaan dan kegagalan negara lain sebagai panduan.
Darurat kesihatan akibat pandemik COVID-19 adalah insiden terburuk dalam sejarah dunia dan kesan ekonominya adalah terburuk dalam tempoh 100 tahun.
"Walaupun pada suku pertama tahun 2020 ini Malaysia mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 0.7 peratus tetapi pada suku kedua dan seterusnya akan memberi gambaran sebenar kemerosotan ekonomi global dan kesannya kepada negara.
"Biarpun sudah kelihatan tanda-tanda pemulihan sedang berlaku di Malaysia susulan pelbagai inisiatif fiskal dan "monetary intervention" khususnya melalui pakej rangsangan RM295 bilion tetapi kebimbangan sebenar akan berlaku pada bulan September depan apabila moratorium "financial facilty" RM100 billion dan kemudahan I-Lestari tamat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Ahad.
Abdul Rahim berkata sektor peruncitan kelihatan semakin rancak khususnya sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala sektor perkhidmatan pelancongan masih terjejas teruk terutama sektor perhotelan berskala besar yang akan memerlukan masa untuk pulih kerana ia juga bergantung kepada kemasukan pelancong antarabangsa ke Malaysia.
"Keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk mengurangkan kadar pengangguran, pekerja tempatan pula akan mendapat peluang pekerjaan semula menerusi inisiatif pemberian subsidi upah, "retraining, reskilling" dan menggalakkan aktiviti perniagaan e-dagang dan ekonomi gig," katanya.
Lanjut mengenai Belanjawan 2021
-- BERNAMA
#Kementerian Kewangan #Abdul Rahim Bakri #Belanjawan 2021 #Rancangan Malaysia Ke-12 #RMK-12 #rakyat #ekonomi
;