Kementerian Kewangan sambut baik kerjasama Malaysia-Indonesia - Tengku Zafrul
Ridauddin Daud
Februari 10, 2021 16:09 MYT
Februari 10, 2021 16:09 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menyambut baik inisiatif kerajaan dalam mewujudkan Gelembung Perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik dan Aturan Koridor Perjalanan (RGL/TCA) antara Malaysia dan Indonesia bagi komuniti perniagaan dalam usaha merancakkan ekonomi kedua-dua negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap selepas digabungkan dengan peruntukan pembiayaan bagi industri pelancongan, industri itu akan turut menerima kesan positif dan mampu untuk bangkit semula.
“Nilai pengecualian cukai yang telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan telah mencecah RM1.37 bilion (peningkatan sebanyak RM533.42 juta berbanding RM836.56 juta pada minggu sebelumnya).
“Antara inisiatif sokongan sektor pelancongan ialah pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong, serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan LAKSANA ke-40 menerusi laman Facebook beliau pada Rabu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Februari lepas menyifatkan lawatan rasminya ke Indonesia amat bermakna dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.
Lawatan itu jelas beliau, berakhir dengan beberapa persetujuan bersama dicapai yang akan memacu hala tuju hubungan kerjasama Malaysia dan Indonesia ke tahap lebih tinggi.
Dalam pada itu, Zafrul berkata, bagi Program Subsidi Upah Fasa Dua (PSU2.0), sejumlah RM741.16 juta telah disalurkan kepada 64,345 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 518,793 pekerja.
“Seperti yang dinyatakan semasa Belanjawan 2021, PSU bersasar juga diperkenalkan bagi membantu sektor pelancongan dan peruncitan.
“Manakala kesemua sektor yang terkesan oleh pelaksanaan PKP tahun ini adalah layak untuk menerima sokongan PSU 3.0 di bawah Pakej Bantuan PERMAI,” ujarnya.
#Indonesia
#kerajaan
#pelancongan
#cukai
#subsidi
#menteri
#pelancong
#Kementerian Kewangan
#Menteri Kewangan
#Zafrul Aziz
#Pelaksanaan PKP
#PKP
#sektor pelancongan
#Malaysia
#Belanjawan 2021