Kementerian Kewangan minta orang ramai teliti laporan sebelum buat tuduhan
Astro Awani
Disember 24, 2013 21:51 MYT
Disember 24, 2013 21:51 MYT
Kementerian Kewangan meminta semua pihak meneliti laporan yang dibentangkan di Parlimen sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas, demi kebaikan bersama.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengenai penjualan aset dan pensekuritian hutang kerajaan adalah tidak bertanggungjawab kerana sengaja memanipulasi isi laporan tersebut bagi kepentingan politik.
Rafizi katanya membuat dakwaan itu berdasarkan laporan Malaysia Economic Monitor yang dikeluarkan Bank Dunia pada 1 Disember 2013.
Kementerian itu menjelaskan, penjualan tanah di bawah inisiatif itu adalah bagi memajukan tanah berkenaan dan kawasan sekitarnya.
Ia dilaksanakan sejak 2008 dan tanah dipindah milik mengikut harga pasaran selepas dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah.
Pensekuritian itu juga dilakukan bagi memperoleh modal pembiayaan tambahan untuk pinjaman perumahan penjawat awam dan ia bukan sumber utama pendapatan dengan hanya menyumbang 1.9 peratus pendapatan kerajaan.
Di bawah Rancangan Malaysia ke-10 kerajaan komited mengurangkan defisit fiskal 5.4 peratus pada 2010 kepada 3.0 peratus pada 2015 bagi mencapai bajet berimbang pada 2020.
Sasaran itu bukan bergantung kepada penjualan aset kerajaan sebaliknya dirancang menerusi konsolidari fiskal kerajaan.