Kementerian Kewangan akan pulangkan semula aset Tabung Haji - PM
Fareez Azman
September 29, 2023 10:25 MYT
September 29, 2023 10:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyerahkan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan daripada Syarikat Tujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan (MOF) pada tahun 2018.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia susulan prestasi pengurusan TH yang semakin baik serta pemulangan aset itu akan dilaksanakan secara berperingkat.
"Masa itu saudara Datuk Seri Mujahid Rawa sebagai menteri (Menteri Agama) beri usul dan MOF ambil alih keadaan TH ketika itu menghadapi masalah kewangan.
"Sekarang dengan pengurusan baru lebih cekap dan dapat beri keyakinan dan pengurusan lebih mantap jadi MOF sedang berunding memindahkan semula aset dipegang MOF kepada TH," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji, di Menara TH, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.
Tambah Anwar lagi, tindakan itu sekali gus menjawab tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan ketika itu mendakwa aset TH dijual kepada bukan Islam.
"Semua aset, kita mula dan arah berbincang mungkin diambil secara berperingkat untuk pastikan pulangan itu baik.
"Ia sendirinya menjawab segala tohmahan dan fitnah sebelum ini bertahun-tahun berbakul-bakul fitnah mengatakan ia dijual, tiada dijual, masih kekal dan sebagai satu amanah dan sekarang sedang berunding dari segi kos dan tanggungan semuanya," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan TH memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 billion kepada SPV pada 31 Disember 2018.
Pemindahan aset itu bagi memantapkan kedudukan kewangan TH.