Kementerian Kesihatan yakin dapat mengalahkan unjuran JP Morgan
Bernama
April 13, 2020 23:29 MYT
April 13, 2020 23:29 MYT
Kementerian Kesihatan yakin bahawa Malaysia dapat mengalahkan unjuran JP Morgan mengenai kumulatif kes COVID-19 dengan membuktikan langkah diambil kerajaan membendung penyebaran virus maut itu berada di landasan yang betul.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan trend semasa, ia dijangkakan jumlah kes COVID-19 di negara ini esok (Selasa, 14 April) adalah di bawah 5,000 kes.
"JP Morgan meramalkan kes positif berada di puncak sehingga mencecah 6,300 esok tetapi hari ini kita hanya menyaksikan kes kumulatif sebanyak 4,817 kes.
"Saya rasa kita melakukan dengan lebih baik. Saya hanya meramalkan esok kita dapat memecah pada kadar bawah 5,000 kes dengan fasa pertama dan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan hasil.
"Ini adalah satu tanda yang menunjukkan kejayaan (langkah-langkah) bahawa kita dapat membendung dan mengurangkan kes dan meratakan lengkung," katanya dalam taklimat harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini, pada Isnin.
Berdasarkan fasa satu dan dua PKP, Dr Noor Hisham berkata fasa ketiga sekarang adalah penting untuk mengurangkan kes harian COVID-19.
"Ketika melihat minggu ke-13, sebenarnya ada puncaknya tetapi sekarang mungkin kita berada dalam fasa pemulihan tetapi kita masih mengawasi dengan teliti kerana kita belum dapat mengurangkan seterusnya.
"Sekiranya kita boleh melakukan itu, kemungkinan kita dapat mengurangkan kes bukan sahaja merapatkan lengkung tetapi kemungkinan mengakhiri COVID-19 di negara ini. Kita harap dapat melakukannya tetapi bukan hanya bergantung kepada kementerian tetapi tanggungjawab kita bersama," katanya.
Ditanya sama ada kementerian akan melakukan ujian COVID-19 secara besar-besaran termasuk orang yang tidak menunjukkan gejala jangkitan, Dr Noor Hisham berkata buat masa ini, mereka hanya menjalankan ujian terhadap kumpulan sasaran.
"Dari segi saringan, kita telah melakukan saringan terhadap 83,488 kes dan hanya 4,817 atau 5.8 peratus didapati positif. Di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kita melakukan terhadap semua orang dan kadar pengesanan positif hanya 0.5 peratus dan bukan 5.8 peratus.
"Daripada memeriksa semua orang dengan kadar pengesanan hanya 0.5 peratus, kita perlu memberi tumpuan kepada kawasan tertentu dan kumpulan berisiko tinggi dengan sumber terhad yang kita ada," katanya.
-- BERNAMA