Kementerian Kesihatan siasat pengilang coklat Cadbury

Astro Awani
Mei 26, 2014 15:57 MYT
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat sama ada pengilang produk coklat susu Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd sengaja meletakkan ramuan atau bahan yang berasaskan babi (porcine) ke dalam produk mereka.
Siasatan dibuat mengikut Akta Makanan 1983 ekoran penemuan DNA babi dalam dua produk coklat susu keluaran syarikat itu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam menegaskan di bawah akta itu pihak pengilang bertanggungjawab memastikan setiap bahan ramuan yang terkandung dalam sesuatu produk makanan perlu dilabelkan dengan jelas.
"Peraturan mengkehendaki produk makanan yang mengandungi babi atau terbitannya dilabel dengan jelas." katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini.
Dalam kes ini, Cadbury katanya tidak menyatakan wujud ramuan berasaskan porcine pada label dua produk mereka iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond).
Namun hasil ujian yang dilakukan oleh Jabatan Keselamatan Makanan dibawah KKM mendapati kedua-dua produk itu mengandungi DNA babi.
Subramaniam bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlakunya pencemaran di mana-mana bahagian dalam rantaian pengilangan produk berkenaan hingga menyebabkan ia dikesan mengandungi DNA babi.
"Jadi pihak KKM akan melakukan siasatan lanjut terhadap keseluruhan rantaian pengilangan dan untuk itu kita akan melakukan pemeriksaan di kilang Cadbury dalam minggu ini."
"Dalam hal ini KKM ingin memaklumkan bahawa semua urusan berkaitan pensijilan halal akan dijalankan oleh JAKIM, manakala KKM menjalankan pemantauan berdasarkan kuasa dibawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985."
Jelas beliau akta berkenaan digubal bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya dari segi kesihatan kesan penipuan sama ada pada peringkat penyediaan, penjualan dan penggunaan produk makanan.
Label makanan katanya amat penting kepada pengguna kerana ia membolehkan pengguna membuat pemilihan makanan yang bermaklumat.
#Akta Makanan 1983 #Babi #cadbury #Cadbury Dairy Milk Hazelnut #Cadbury Dairy Milk Roast Almond #coklat susu #Coklat Susu dengan Buah Badam #Coklat Susu dengan Kacang Hazel #porcine #S. Subramaniam
;