Kementerian Kesihatan siasat kes culik bayi di Hospital Tanah Merah - Subramaniam

Bernama
November 16, 2016 16:56 MYT
Dr S.Subramaniam berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di mana-mana hospital dan pihaknya memandang insiden itu sebagai sangat serius. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes penculikan seorang bayi perempuan berusia lima hari dari Hospital Tanah Merah, Kelantan malam tadi.
Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di mana-mana hospital dan pihaknya memandang insiden itu sebagai sangat serius.
"Kita ada prosedur dan sistem keselamatan untuk bawa keluar bayi yang sesiapa pun tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kebenaran untuk bayi dibawa keluar.
"Ia bagi memastikan keselamatan bayi di wad terjamin," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Minggu Kesedaran Antibiotik Kebangsaan 2016 di Hospital Putrajaya hari ini.
Bapa kepada bayi itu, Mohd Ihtisyamuddin Mohd Ashri, 29, menyedari mengenai kehilangan bayinya pada pukul 9 malam selepas beliau datang ke hospital untuk melihat anak keduanya itu yang lahir pada Khamis lalu.
Susulan laporannya kepada pihak polis, polis telah menahan sepasang suami isteri yang berusia lingkungan 30-an tengah malam tadi di sebuah rumah di Selising, Pasir Puteh. -- Bernama
#bayi hilang ditemui #culik bayi #Hospital Tanah Merah
;