Kementerian Kesihatan cipta penawar Hepatitis C

Bernama
April 13, 2018 04:58 MYT
Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berucap pada majlis pecah tanah untuk naik taraf Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau, 13 April, 2018. --fotoBERNAMA
Gabungan pegawai perubatan daripada lima hospital di bawah Kementerian Kesihatan mengharumkan nama negara apabila berjaya menghasilkan penawar untuk penyakit Hepatitis C.
Kajian untuk penawar penyakit itu melibatkan pegawai perubatan daripada Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan Hospital Sungai Buloh.
Kejayaan itu diumum di Kongres Hati Antarabangsa yang berlangsung di Paris, Perancis pada Khamis.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, penawar untuk penyakit itu dihasilkan dengan kerjasama Drug for Neglected Disease Initiative (DNDI), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Geneva.
"Hasil kajian kita telah membuktikan bahawa rawatan baharu iaitu gabungan 2Direct Acting Agent (DAA) untuk pesakit Hepatitis C adalah berkesan dan pesakit mencapai tahap pemulihan sehingga 97 peratus.
"Seperti yang diketahui, virus amat sukar dipulihkan seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) yang sampai sekarang belum ada penawar, namun kali ini kita berjaya mencipta penawar untuk Hepatitis C," katanya berucap merasmikan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Pulau Pinang.
Dr Hilmi berkata penawar yang dihasilkan itu mampu merawat 500,000 pesakit Hepatitis C di negara ini dan dengan penemuan itu, orang ramai kini boleh mendapatkan rawatan pada kadar yang teramat murah iaitu RM1,200 (untuk 12 sesi) berbanding negara lain RM320,000.
Terdahulu di BALIK PULAU, Dr Hilmi berkata Hospital Balik Pulau akan dinaik taraf bagi menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah.
"Tahun lepas, Hospital Balik Pulau menerima 44,128 pesakit di wad kecemasan dan 83,735 pesakit luar. Bangunan hospital ini dah lama, sejak tahun 1883...jadi kita perlu perlu naik taraf," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jabatan Kecemasan Dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau.
Beliau berkata penambahan blok itu adalah untuk kemudahan pesakit luar, unit forensik dan unit patologi bagi menampung bilangan pesakit di kawasan Balik Pulau dan Bayan Lepas.
Beliau berkata kawasan Balik Pulau memerlukan sebuah hospital yang besar dengan kemudahan sekurang-kurangnya 600 katil dan mengikut perancangan sebahagian 52 pakar perubatan daripada Hospital Pulau Pinang akan dipindahkan ke Hospital Balik Pulau apabila projek naik taraf itu siap sepenuhnya.
-- BERNAMA
#Balik Pulau #Dr Hilmi Yahaya #Hepatitis C #HIV #Hospital #Kementerian Kesihatan #Kongres Hati Antarabangsa #Paris #pegawai perubatan #pemulihan #penawar #penyakit #perubatan #virus
;