Kementerian Kerja Raya akan teruskan polisi sedia ada - Alexander
Fadilah Sulaiman
Disember 2, 2022 21:20 MYT
Disember 2, 2022 21:20 MYT
KUCHING: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang diumum sebagai Menteri Kerja Raya di bawah Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan meneruskan dasar kementerian yang terbukti berkesan di samping menambah baik dasar yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
Malah Ahli Parlimen Kapit itu turut menegaskan, beliau akan menjadi ‘minister for all, not just for Sarawakians’ sekali gus berikrar akan memastikan setiap usaha dan inisiatif yang diambil di bawah kementerian tersebut akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sesungguhnya pelantikan ini adalah amanah dan tanggungjawab yang amat penting dalam membantu usaha Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha pemulihan ekonomi negara, lebih-lebih lagi menjelang tahun 2023 yang dijangka amat mencabar.
“Saya juga menyedari, tanggungjawab ini datang dengan cabaran yang besar. Namun saya akan memberikan sepenuh komitmen dan usaha dalam memastikan kelancaran perancangan pentadbiran negara atas kapasiti saya di kementerian ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat malam.
Jawatan Menteri Kerja Raya sebelum ini dipegang oleh Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof.
Alexander yang merupakan Setiausaha Agung GPS sebelum ini memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).