Kementerian kaji keberkesanan vaksin denggi baharu

Astro Awani
Disember 4, 2014 15:44 MYT
Kerajaan sedang menjalankan kajian terperinci terhadap vaksin denggi baharu bagi memastikan ia benar-benar berkesan. -Gambar fail
Kerajaan sedang menjalankan kajian terperinci terhadap vaksin denggi baharu bagi memastikan ia benar-benar berkesan dari segi penggunaannya untuk jangka masa panjang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, ketika ini daripada data yang diperoleh oleh kementerian, masih lagi terdapat banyak persoalan yang tidak terjawab berhubung keberkesanannya.
Menurut beliau, pihaknya dan juga beberapa lagi pakar sedang dalam proses meneliti semula kajian terhadap vaksin tersebut yang pernah dilakukan sebelum ini di rantau Asia dan juga Amerika Latin bagi melengkapkan data yang diperlukan.
Beliau memberitahu, percubaan juga akan dibuat ke atas satu kawasan yang mencatat kes denggi tertinggi dalam masa terdekat bagi memastikan vaksin itu dapat memberi perlindungan dan tidak mempunyai kesan sampingan.
Katanya, jika Kementerian Kesihatan memperoleh hasil yang positif dan data yang lengkap, barulah keputusan mengenai pengunaan vaksin tersebut akan dibuat.
"Ujian yang telah dijalankan, walaupun berjaya mengurangkan tahap keseriusan, hanya dibuat kepada mereka yang berusia 15 tahun dan ke bawah.
"Daripada pengalaman kita sejak setahun lalu, kes kematian melibatkan mereka yang berusia 25 tahun ke atas. Jadi kita perlu kenal pasti yang vaksin itu dapat membantu kerana kajian tidak dibuat ke atas kumpulan umur tersebut," katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis konvokesyen Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Tanjung Rambutan pada Khamis.
Dr Subramaniam turut memberitahu situasi wabak denggi di seluruh negara kini bertambah baik dengan bilangan kes dicatatkan menurun kepada 2,300 setiap minggu berbanding 3,000.
Namun, katanya, kementerian akan terus mempergiatkan aktiviti pencegahan wabak berkenaan bagi memastikan jumlah tersebut menurun kepada sekurang-kurangnya 1,500 kes seminggu.
#denggi #Dr S. Subramaniam #Kementerian Kesihatan #vaksin
;