Kementerian kaji cadangan wajibkan persekolahan hingga tamat SPM
Bernama
Januari 27, 2019 18:49 MYT
Januari 27, 2019 18:49 MYT
Kerajaan sedang mengkaji semula Akta Pendidikan negara untuk mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari Tahun Satu sehingga tamat Tingkatan Lima.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, ibubapa yang gagal menghantar anak ke sekolah mungkin berdepan denda sebanyak RM5,000 ataupun penjara selama enam bulan.
Beliau berkata, Akta Pendidikan kini hanya mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan dari Tahun Satu sehingga Tahun Enam sahaja.
"Kita sekarang dah capai lebih 98 peratus anak-anak bersekolah (di sekolah rendah) tetapi sasaran kita ialah 100 peratus," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ziarah Cakna peringkat kebangsaan di Pejabat Penidikan Daerah Kulai, hari ini.
Teo berkata program tersebut adalah lanjutan dari program 'Sifar Murid Cicir' yang dijalankan sejak Julai 2018.
Ianya bertujuan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi sesuatu keluarga yang menyebabkan anak-anak mereka gagal menghadiri sesi persekolahan.
"Mungkin dengan cara ini (Ziarah Cakna) kita dapat berjumpa ibubapa dan memahami masalah mereka.
"Ibubapa yang tidak mendaftarkan anak untuk bersekolah pada umur tujuh tahun, kita boleh ambil tindakan undang-undang tetapi saya rasa dengan cara ini, guru-guru dan pemimpin tempatan dapat turun melawat ibubapa di rumah dan memahami masalah dihadapi mereka dan merangka tindakan yang boleh diambil," kata Teo.
Tambahnya, kementeriannya juga boleh mengenal pasti bantuan yang perlu disalurkan kepada ibubapa ini sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Namun, menurut Teo, terdapat juga ibubapa yang tidak bertanggungjawab dan tidak memikirkan masa depan anak mereka sendiri.
Sementara itu, katanya kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenalkan kembali sistem pengasingan kelas bagi murid-murid sekolah.
Menurutnya, Ujian Kemasukan Tahun Satu telahpun dimansuhkan kerana kerajaan percaya ia adalah terlalu awal untuk melabel murid-murid sekolah, seawal usia tujuh tahun.
"Kita harap kita dapat beri peluang yang sama kepada anak-anak ini. Dan di Finland, walaupun tanpa sistem pengasingan kelas, sistem pendidikan mereka adalah yang paling cemerlang dan jurang di antara murid-murid sekolah adalah yang paling kecil.
"Saya rasa ini yang patut kita pelajari kerana kita nak elakkan situasi di mana sejak awal lagi murid ini diberikan label," jelasnya.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan turut berazam untuk membangunkan murid-murid yang mempunyai karektor dan sahsiah terpuji dan bukan sekadar cemerlang dari sudut akademik. -- Bernama