Kementerian guna teknologi AI, Wolbachia basmi pembiakan Aedes - Dr Dzulkefly

Afiq Ariffin
Mac 9, 2019 15:48 MYT
DR DZULKEFLY: Wolbachia merupakan pendekatan melawan Aedes yang paling mujarab. -Foto Astro AWANI
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dalam perancangan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah membasmi kes berkaitan nyamuk Aedes.
Menurut menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, teknologi itu membolehkan KKM meramal kawasan yang dijangka berlakunya peningkatan kes denggi dengan tepat dan mengambil tindakan dengan cepat.
“Teknologi kecerdasan buatan (AI) membolehkan kami membuat ramalan dengan menggunakan parameter dan kita boleh mengetahui di mana tempat berpotensi berlakunya wabak Aedes tersebut.
“Kita juga telah melakukan ujian percubaan di Pulau Pinang dan kes Aedes menunjukkan kadar penurunan,” kata Dzulkefly di Majlis Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Cheras.
Tambah beliau, teknologi ini juga boleh diperluaskan ke seluruh negara sekiranya mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.
Dalam pada itu, apabila ditanya berkenaan tenaga pakar dalam menangani Aedes, beliau menegaskan KKM juga mempunyai pakar dalam bidang kajian Wolbachia.
“Kita ada pakar dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga pakar Wolbachia.
“Di dunia, kita adalah antara yang pertama melakukan kajian ini, Wolbachia merupakan pendekatan melawan Aedes yang paling mujarab dan ia juga mengambil masa untuk kami laksanakan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pelaksanaan projek Wolbachia itu dijangka dilaksanakan seawal Julai tahun ini.
Sepanjang tempoh 10 minggu pertama 2019, kes denggi yang dicatatkan di seluruh negara adalah sebanyak 28,580 berbanding 11,145 kes bagi tempoh sama pada tahun 2018.
Ini menunjukkan peningkatan kes berkaitan Aedes sebanyak 156.4 peratus.
#aedes #denggi #Dr Dzulkefly Ahmad #gotong-royong #kecerdasan buatan #Kementerian Kesihatan #KKM #Perangi Aedes #perubatan #pulau pinang
;