Kementerian Ekonomi akan mula inisiatif 'MADANI Mendengar', kumpul input rakyat untuk RMK-13

Bernama
September 5, 2024 04:45 MYT
Rafizi bercakap pada sidang media selepas Majlis Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026-2030 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, pada Khamis. - Foto BERNAMA
SEPANG: Kementerian Ekonomi bersedia untuk melancarkan siri sesi libat urus dan kumpulan berfokus di seluruh Malaysia bermula akhir bulan ini.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang menerajui usaha ini berkata inisiatif ini adalah komponen utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dikenali sebagai "MADANI Mendengar," untuk menggalakkan penyertaan dan dialog yang aktif.
"Saya ingin menjemput anda secara peribadi untuk memainkan peranan aktif dalam proses ini. Kejayaan RMK-13 dan potensi Malaysia untuk menjadi kuasa penggunaan tidak bergantung kepada kerajaan.
"Ia memerlukan pendekatan keseluruhan negara, dengan kita, masing-masing membuat pelaburan untuk masa depan negara," kata Rafizi ketika berucap pada Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 2026-2030 di sini pada Khamis.
Menurutnya inisiatif itu akan menekankan kepentingan untuk membentuk strategi ekonomi yang dibuat secara usaha sama dan menyeluruh.
"Sesi libat urus ini akan berperanan sebagai platform untuk kementerian menghimpunkan pemikir awam, penggiat swasta dan orang ramai untuk mendengar maklum balas yang membina," katanya.
Sementara itu, pada sidang media, Rafizi berkata inisiatif "MADANI Mendengar" adalah proses yang membolehkan kerajaan memberikan gambaran menyeluruh mengenai keadaan negara.
"Sama ada dari segi potensi, cabaran, kekangan dan sebagainya, saya yakin melalui libat urus yang lebih baik, kita akan dapat memanfaatkan perpaduan sosial dan berupaya membangunkan rancangan yang berkesan.
"Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, kadang kala ada pihak menjadi pesimis dengan rancangan kita kerana merasakan ia tidak semestinya menangani kebimbangan mereka dengan cepat," katanya.
Rafizi berkata, dalam sesi libat urus itu , kementerian akan memanfaatkan peluang untuk bertemu kumpulan tertentu, yang sebahagiannya diadakan pada waktu yang sama dengan sesi libat urus rasmi bersama negeri-negeri.
"Ada sebahagiannya akan dianjurkan secara berasingan khusus untuk kumpulan itu, dan semua ini saya akan terlibat. Oleh itu, saya boleh mendengar manakala pegawai dan pemimpin kementerian juga akan boleh mendengar sendiri (pandangan orang ramai).
"Oleh itu, ia bermula bulan ini dan akan berterusan untuk tempoh tiga hingga empat bulan akan datang," katanya.
Beliau berkata RMK-13 yang sedang dirangka ketika ini dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dan selesai sepenuhnya pada Mei tahun depan.
Menurutnya dokumen penting bagi perancangan ekonomi negara itu dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada Julai tahun depan selepas mendapat kelulusan Kabinet.
-- BERNAMA
#Kementerian Ekonomi #pelaburan #perpaduan #Dewan Rakyat
;