Kementerian Digital main peranan penting galak perladangan moden, perkasa sektor pertanian - Gobind
Bernama
Ogos 29, 2024 07:00 MYT
Ogos 29, 2024 07:00 MYT
GEORGE TOWN: Kementerian Digital memainkan peranan penting dalam memajukan perladangan moden dengan menjalin kerjasama dan menggalakkan kolaborasi antara pemegang taruh dan rakan ekosistem untuk memperkasakan sektor pertanian negara secara digital.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata antara usaha tersebut adalah inisiatif Malaysia Digital AgTech3, diuruskan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang menyepadukan teknologi digital termaju seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), analisis data raya (BDA), kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dron.
"Malaysia Digital AgTech bertujuan untuk meningkatkan produktiviti, mengukuhkan kualiti, meningkatkan pendapatan, mengurangkan kos operasi, mengoptimumkan perladangan dan menggalakkan penyertaan yang lebih besar.
"Beberapa projek perintis Digital AgTech termasuklah fertigasi (pembaja-airan) pintar, pemantauan air pintar dan teknologi dron. Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan lagi ekonomi digital negara," katanya dalam ucapan beliau pada majlis jalinan kerjasama antara BoomGrow Productions Sdn Bhd dan CelcomDigi, di sini, pada Khamis.
Kerjasama tersebut adalah bertujuan untuk merintis pertanian lestari menggunakan 5G, AI dan teknologi pembelajaran mesin.
Gobind berkata kejayaan transformasi digital dalam pertanian bergantung kepada kerjasama yang kukuh dalam kalangan pelbagai pemegang taruh.
Menurutnya, dengan mendigitalkan kaedah pertanian, beliau yakin sektor tersebut mampu memberi sumbangan yang lebih besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
"Sektor pertanian di Malaysia menyumbang 7.2 peratus kepada KDNK negara pada suku kedua tahun ini, peningkatan ketara daripada 1.7 peratus pada suku pertama," katanya.
Sementara itu , Gobind turut memuji BoomGrow Machine Farms, ladang pertama di Malaysia disambungkan dengan 5G, yang mencapai hasil luar biasa menerusi penanaman sayur-sayuran dalam bekas.
Beliau berkata inovasi itu bukan sahaja akan menjadikan hasil pertanian lebih segar dan sedap tetapi juga berpotensi untuk menampung sekuriti makanan di dalam dan luar negara dengan sokongan teknologi.
Menurutnya, impak menyeluruh daripada kemajuan teknologi ini adalah sangat besar.
"Revolusi teknologi sebegini bukan sahaja akan memelihara alam sekitar kita tetapi juga menjamin bekalan makanan kita, mengukuhkan ekonomi kita, dan mengangkat Malaysia sebagai peneraju dalam pertanian lestari di seluruh Asia Tenggara.
"Saya dimaklumkan bahawa AI dan IoT adalah antara teknologi yang akan dipamerkan pada edisi ke-100 Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada bulan depan. Saya harap ini akan menggalakkan lebih ramai petani untuk menerima guna inisiatif digital," katanya.
MAHA akan diadakan bermula 11 hingga 22 Sept di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Selangor.
-- BERNAMA