Kementerian Digital cadang tubuh Suruhanjaya Data galak pasaran pusat data

Bernama
Julai 29, 2024 06:27 MYT
Gobind berkata, bagi tujuan itu, pihaknya merancang untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Data Malaysia bagi membolehkan kerangka dan polisi yang mencukupi dapat dibangunkan untuk melindungi data rakyat serta menggalakkan penggunaan pusat data di dalam negara.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata bagi tujuan itu, pihaknya merancang untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Pindaan tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac atau pertengahan tahun depan, katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Cybersecurity Malaysia di sini, pada Isnin.
Beliau berkata teknologi baharu semakin bersandarkan kepada kecerdasan buatan (AI) dan kerajaan sedia maklum bahawa aspek yang paling penting untuk menjayakan industri ini adalah pusat data.
Justeru, kerajaan telah menumpukan usaha untuk membawa pelaburan besar khususnya pusat data dan sebagainya, katanya.
"Kita lihat (ada) pelaburan daripada Google, Microsoft, ByteDance dan sebagainya dengan jumlah pelaburan cukup besar," katanya.
Gobind berkata pada masa ini, Malaysia telah mempunyai Pesuruhjaya Data dan sebuah jawatankuasa.
"Jadi, saya ingin memfokuskan untuk kita menggunakan platform ini dan memperkukuh jawatankuasa tersebut terlebih dahulu serta bergerak ke depan.
"Kita akan mencadangkan kepada kerajaan supaya jawatankuasa ini dijadikan sebagai Suruhanjaya Data supaya dapat lebih memfokuskan aspek data," katanya.
Pada majlis itu, Digital Nasional Bhd (DNB) dan Cybersecurity Malaysia memeterai perjanjian kerjasama untuk meningkatkan keselamatan siber rangkaian 5G Malaysia.
Kerjasama itu melibatkan pembangunan panduan keselamatan 5G yang akan digunakan sebagai asas keperluan industri di samping berfungsi sebagai panduan untuk asas keselamatan 5G masa depan.
-- BERNAMA
#Kementerian Digital #Suruhanjaya Data #Gobind Singh Deo #Akta Perlindungan Data Peribadi 2010