Kementerian Digital akan teliti struktur NAIO untuk masa depan teknologi

Bernama
November 28, 2024 23:45 MYT
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata penelitian itu perlu dilakukan untuk memastikan Malaysia dapat memanfaatkan teknologi baharu khususnya AI pada masa depan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital akan meneliti secara spesifik mengenai struktur Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan di bawah seliaan MyDigital Corporation yang akan dilancarkan pada 12 Disember ini.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata penelitian itu perlu dilakukan untuk memastikan Malaysia dapat memanfaatkan teknologi baharu khususnya AI pada masa depan.
"Kita juga perlu melihat teknologi apa yang kita perlukan dan bagaimana kita boleh menarik perhatian pelabur asing yang dapat membantu mewujudkan ekosistem menyokong negara kita supaya kita dapat mengadaptasi teknologi ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, seramai 10 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan rang undang-undang tersebut.
Malaysia bersedia untuk menerima dan menjemput syarikat asing serta gergasi global untuk membuat pelaburan di Malaysia selain membangunkan tenaga kerja mahir dalam bidang AI di Malaysia.
Dalam pada itu, Gobind berkata aspek seterusnya yang akan diteliti dan dilaksanakan adalah mewujudkan sistem memudahkan pelaburan, inovasi, kolaborasi, penggubalan dasar dan tadbir urus.
"Dasar ini akan dibincangkan dengan industri, untuk merangka langkah-langkah perlu diambil dan perundangan diperlukan untuk bergerak ke hadapan," katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa kajian penyelidikan secara spesifik perlu dilakukan bagi menunjukkan betapa pentingnya penubuhan NAIO ini.
-- BERNAMA
#NAIO #Kementerian Digital #Gobind Singh Deo #kecerdasan buatan
;