Kementerian Dalam Negeri dan Pertahanan berkerjasama dalam isu Lahad Datu
T K Letchumy Tamboo
Mac 3, 2013 11:08 MYT
Mac 3, 2013 11:08 MYT
Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan sedang bekerjasama rapat dalam usaha menyelesaikan pertelingkahan di Lahad Datu dimana dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban Jummat selepas kejadian tembak-menembak di situ.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan perkara ini melalui akaun twitter beliau semasa menjawab satu persoalan daripada salah seorang pengikutnya yang ingin mengetahui peranan Kementerian Pertahanan di dalam kejadian malang itu.
Hishammuddin berkata kementeriannya, berserta dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar memang bekerjasama sejak dari mula lagi.
Menteri Pertahanana Zahid Hamidi semalam berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis bekerjasama rapat untuk menyelesaikan hal itu.
Beliau berkata ATM tidak lepas tangan dan berada di tempat kejadian dengan aset-aset yang diperlukan.
Zahid juga meminta agar orang ramai tidak membuat tuduhan liar dan mempolitikkan kejadian itu.