'Kementerian bincang usaha kurang kerugian sekolah akibat banjir' - Mahdzir
Wan Syamsul Amly
Disember 4, 2015 23:10 MYT
Disember 4, 2015 23:10 MYT
Kementerian Pendidikan sudah mengadakan perbincangan bersama agensi berkenaan untuk mengurangkan kos kerugian akibat banjir besar yang melanda sekolah di beberapa negeri seperti yang berlaku sebelum ini.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia melibatkan koordinasi semua Jabatan Pendidikan di negeri berkenaan selain persiapan apabila banjir melanda.
"Kita adakan perbincangan apa langkah yang harus dibuat jika berlaku banjir.
"Ia dilihat usaha mengurangkan kos kerosakan sekolah serta peralatan seperti komputer yang besar akibat banjir tahun lepas.
"Perbincangan melibatkan Jabatan Bencana Alam serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang akan membuat koordinasi dengan Pejabat Daerah tentang apa yang perlu dibuat semasa banjir," katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Persediaan Penggal Persekolahan 2016 di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah JPAM, Ogu Salim Omar berkata, pihaknya telah bersiap siaga menggerakkan jentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir di seluruh negara kelak.
Jelasnya, pihaknya juga telah mengadakan beberapa siri latihan simulasi bagi mempersiapkan anggotanya dengan latihan mencari, menyelamat dan memindahkan mangsa dalam suasana banjir itu.
Katanya, 11,800 anggota JPAM di seluruh negara juga sedia digerakkan dalam tempoh tiga jam selepas berlaku banjir.
Dalam pada itu kata Mahdzir, sesi persekolahan bagi 2016 di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor akan bermula pada 3 Januari, manakala bagi negeri lain adalah pada 4 Januari.
Sementera itu, tarikh akhir persekolahan bagi empat negeri berkenaan adalah pada 24 Nov, manakala bagi negeri lain adalah pada 25 Nov.