Kementerian betulkan infografik buku teks Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
Bernama
Januari 15, 2019 06:08 MYT
Januari 15, 2019 06:08 MYT
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan segera membetulkan infografik pada buku teks subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Tahun Tiga kerana ia boleh disalah tafsir.
Dalam kenyataan pada Selasa, KPM berkata infografik pada halaman 67 dalam buku teks terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dibekalkan ke semua Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pada tahun ini itu boleh disalah tafsir sebagai menyalahkan mangsa gangguan seksual berhubung 'penjagaan kehormatan anggota seksual.'
"KPM yang menerima maklum balas mengenai infografik tersebut semalam (14 Jan) telah mengambil tindakan segera untuk membetulkannya.
"KPM memutuskan untuk menambah baik kandungan buku tersebut dengan menyediakan ralat dalam bentuk QRCode, yang akan dimuat naik pada 17 Jan (Khamis ini) untuk makluman guru, murid dan ibu bapa," katanya.
Kenyataan itu turut menjelaskan ralat dalam bentuk pelekat juga akan dicetak dan diedarkan ke semua sekolah berkenaan termasuk ke SJKT mulai 29 Jan.
"Surat makluman berkaitan hal ini akan dikeluarkan dan dipanjangkan ke semua sekolah untuk memaklumkan tentang langkah penambahbaikan tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#buku teks
#gangguan seksual
#Kementerian Pendidikan
#Pendidikan Jasmani
#pendidikan seks
#salah laku seksual