Kementerian bercadang anjur jelajah tingkat kesedaran kanak-kanak guna media sosial - Fahmi
Bernama
Mac 29, 2024 23:30 MYT
Mac 29, 2024 23:30 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi bercadang mengadakan jelajah bersama Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang keselamatan penggunaan media sosial terutama TikTok dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau telah berhubung dengan pejabat Menteri Pendidikan bagi menyatakan hasrat itu.
"Kita berhasrat untuk bekerjasama dengan beberapa pihak mengusahakan satu jerayawara atau jelajah memberi kesedaran dan pemahaman dalam kalangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) khususnya guru-guru dan para murid.
"Mereka yang di bangku sekolah darjah 1 hingga 6 tidak boleh ada akaun TikTok, ini sebenarnya melanggar garis panduan asas untuk platform tersebut," katanya kepada media selepas melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena bulan puasa bertemakan 'Indahnya Ramadan' di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutifnya Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata kementerian juga akan meneliti langkah-langkah perlu dalam memastikan kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial kerana ramai ibu bapa tidak cakna tentang had umur asas sekurang-kurangnya iaitu 13 tahun ke atas bagi memiliki akaun media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook.
"Ramai ibu bapa tidak perasan had umur asas ini, (jadi) saya minta anak-anak di bawah umur 13 tahun janganlah diberikan akaun TikTok kerana ada beberapa perkara kurang enak dan risau tentang algoritma yang disajikan kepada anak-anak kerana ia mampu membentuk pemikiran mereka," katanya.
Beliau juga berkata pandangan pempengaruh di media sosial yang berbentuk sindiran dan parodi tidak sesuai serta tahap pemikiran kanak-kanak dalam usia tersebut belum dapat menerimanya.
Justeru, Fahmi mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau bagi memastikan kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak menggunakan media sosial khususnya TikTok.
Terdahulu, beliau turun padang menyampaikan 1,000 pek makanan serta beg sumbangan kepada orang ramai sebagai meraikan bulan yang penuh keberkatan ini.
-- BERNAMA