Kementerian ambil tindakan tegas atasi jenayah siber - Jailani
Bernama
April 24, 2014 16:42 MYT
April 24, 2014 16:42 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengakui sukar untuk mengesan pemilik akaun sosial palsu yang diguna untuk membuat pelbagai tohmahan dan fitnah terhadap individu lain.
Bagaimanapun kata Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari, individu yang dikesan berbuat demikian akan berdepan tindakan tegas dari segi undang-undang.
Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati bersalah terutama mereka yang menggunakan akaun palsu atau menyamar menggunakan nama individu lain untuk memburukkan orang lain yang semakin berleluasa sekarang, katanya di Dewan Negara di sini Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader yang ingin tahu tindakan kementerian terhadap pemilik akaun media sosial palsu yang aktif menyebar fitnah dan pelbagai lagi terhadap pihak lain.
Sementara itu Jailani berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat 2,753 laman sesawang yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan pelbagai undang-undang lain.
Beliau berkata kerajaan turut melancarkan kempen 'Klik dengan Bijak' bagi mendidik dan memberi kesedaran berterusan kepada masyarakat supaya lebih bertanggungjawab, beretika dan mengutamakan keselamatan ketika melayari Internet.
Kepada soalan asal Senator Syed Shahir Syed Mohamud yang ingin tahu usaha komprehensif kementerian untuk mempertingkat kelajuan Internet di negara ini, Jailani berkata kerajaan melalui SKMM sentiasa berusaha menambah baik prasarana komunikasi dari semasa ke semasa.
Beliau berkata kementerian telah merangka Pelan Jalur Lebar Kebangsaan 2010 yang merupakan pelan komprehensif bertujuan meningkatkan kadar penggunaan jalur lebar.
"Melalui pelan itu, SKMM berjaya melonjakkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah kepada 67.3 peratus berbanding 55.6 peratus pada 2010," katanya.