Kementerian akan kaji cadangan kecilkan jumlah murid - Kamalanathan
Astro Awani
Januari 1, 2018 16:22 MYT
Januari 1, 2018 16:22 MYT
Kementerian Pendidikan akan meneliti cadangan pengecilan jumlah pelajar dalam sesebuah kelas bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) seperti yang dicadangkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima apa-apa cadangan bagi tujuan penambahbaikan sistem sedia ada.
"Saya berterima kasih kepada NUTP kerana sentiasa bekerjasama dengan kami.
"Oleh itu, kami akan meneliti cadangan tersebut, kerana segala perancangan kita akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum mencari satu penyelesaian," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKC) Gelang Patah.
Pada 30 Disember lalu, Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya menyokong cadangan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) supaya jumlah murid dalam satu kelas dikecilkan kepada kurang daripada 30 orang.
PAGE menyarankan demikian ketika mempersoal tindakan kementerian yang mengarahkan penghentian pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid.
Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, inisiatif tersebut tidak akan menunjukkan keberkesanannya sekiranya jumlah murid dalam satu kelas masih lebih 35 orang.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin pada 26 Disember meminta semua sekolah supaya tidak lagi mengamalkan budaya pengasingan kelas.
Amin berkata, kementerian mahu amalan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid dan sekolah kawalan dihentikan, manakala kaedah pengasingan rasmi seperti Ujian Kemasukan Tahun Satu juga dimansuhkan sepenuhnya bermula 2019.
Beliau berkata, amalan pengasingan kelas bukan dasar pendidikan, namun dilakukan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS), yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) sebelum ini.