Kementah berhasrat bina lebih banyak rumah baharu, baik pulih rumah veteran ATM
Bernama
Jun 23, 2023 05:20 MYT
Jun 23, 2023 05:20 MYT
PONTIAN: Kementerian Pertahanan (Kementah) berhasrat untuk membina lebih banyak kediaman baharu serta membaik pulih rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari semasa ke semasa.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata sehingga bulan ini, sebanyak 43 permohonan pembinaan rumah kediaman di bawah Projek Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diluluskan berbanding sasaran awal sebanyak 40 buah kediaman tahun ini.
"Pada Jun saja, kita dah capai sasaran kelulusan, cuma kita harap dapat penuhi 43 buah rumah itu (untuk) disiapkan dengan 169 pembaikan buat rumah seluruh negara.
"Tahun lepas sebanyak 25 buah rumah, tahun ini kita sudah tingkatkan... jadi kita di peringkat kementerian akan nilai dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM peringkat NegeriJohor di Kampung Ayer Baloi, di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Alor Gajah itu berharap anggota veteran ATM dapat mengemas kini data dan maklumat diri menerusi portal Veteran Integrated Benefit System (VIBES 2.0) dalam usaha penyampaian perkhidmatan kepada veteran tentera dan tanggungan mereka.
"Dalam minggu ini, kita juga telah melancarkan apa yang kita panggil sebagai VIBES 2.0 dengan fokus sistem ini adalah untuk memastikan anggota veteran kita boleh melengkapkan maklumat semasa mereka secara dalam talian kerana kita perlukan data semasa ini untuk program-program kebajikan, kesihatan pendidikan dan seumpamanya.
"Saya juga berharap anggota veteran di seluruh negara dapat memberikan maklumat yang terkini supaya aspek kebajikan dan yang terkini termasuk aspek keusahawanan pun kita dapat pantau dari semasa ke semasa," kata Adly.
VIBES 2.0 yang dilancarkan Rabu lepas, adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada veteran tentera dan tanggungan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Segala hebahan maklumat pelbagai kemudahan, permohonan, semakan status permohonan, semakan faedah persaraan, tarikh jadual pencen, bantuan kebajikan, kemaskini maklumat peribadi dan waris, tuntutan perubatan serta pengurusan persatuan veteran, juga boleh didapati dalam sistem tersebut.
-- BERNAMA