Kemenangan saya kali ini lebih signifikan - Najib

Bernama
September 21, 2013 22:10 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hakikat beliau tidak dicabar, sekali gus mengekalkan jawatan presiden Umno tanpa bertanding, menjadi lambang kematangan anggota Umno.
Perdana menteri berkata ia lebih signifikan memandangkan perlembagaan parti telah dipinda untuk memudahkan sesiapa sahaja mencabar jawatan tertinggi parti.
Selain beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menang jawatan timbalan presiden Umno tanpa bertanding seperti yang diumumkan di akhir proses penghantaran borang pencalonan bagi pemilihan Umno bulan depan, di sini hari ini.
"Alhamdulillah saya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat sokongan padu daripada anggota Umno sehingga tidak dicabar dan telah menang tanpa bertanding," kata Najib melalui laman sosial Facebooknya.
Najib berkata beliau turut bersyukur kerana anggota Umno telah menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan meletakkan kedua-dua jawatan tertinggi ini sebagai tonggak parti.
"Sokongan padu anggota Umno dari setiap peringkat akan memastikan parti Umno kekal relevan," kata Najib.
Dalam itu, beliau mengingatkan semua calon supaya bertanding secara telus dan sentiasa menghormati persaingan serta perlembagaan parti.
"Bersama, kita boleh kekalkan kesinambungan legasi perjuangan Umno," kata perdana menteri.
#najib #Pemilihan Umno 2014 #UMNO
;