Kemenangan Mohamad Hasan di DUN Rantau dibatalkan - Mahkamah Khas Pilihan Raya

Shuhada Abdul Kadir
November 16, 2018 11:34 MYT
Pada PRU14, 9 Mei lalu, Datuk Seri Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon. - Gambar fail
Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini memutuskan kemenangan calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu adalah tidak sah dan terbatal.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar di sini hari ini yang mengarahkan pilihan raya kecil diadakan selepas kerusi DUN berkenaan dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada 28 April lalu.
Beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr S. Streram dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.
Azimah dalam penghakimannya berkata tidak wujud sebarang undang-undang pilihan raya yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.
"Ini diakui peguam responden kedua dan ketiga dalam hujahan bertulisnya.
"Dengan itu, mahkamah membenarkan pempetisyen memfailkan petisyen seperti berikut, Mohamad tidak dipilih sebagai ADUN Rantau dan pemilihannya tidak sah atau batal.
"Mahkamah memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Rantau diadakan serta-merta," katanya.
Mohamad diwakili lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Dr Streram diwakili empat peguam diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

DS Mohamad Hasan dan Dr S. Streram tiba di Mahkamah Khas Pilihan Raya untuk mengetahui keputusan petisyen pilihan raya DUN Rantau di Kompleks Mahkamah Seremban di sini pic.twitter.com/rdaLsvrxrg

— BERNAMA (@bernamadotcom) November 16, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas calon PKR, Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, pakar bius itu memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.
Dalam petisyennya, beliau menamakan Datuk Seri Mohamad sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.
#Barisan Nasional #DUN Rantau #mahkamah #Mohamad Hasan #Suruhanjaya Pilihan Raya
;