Kemenangan Macron, kelegaan buat dunia termasuk Malaysia - Penganalisis

Bernama
April 26, 2022 14:04 MYT
Macron telah memenangi pemilihan presiden Perancis untuk penggal kedua. - Reuters
KUALA LUMPUR: Kemenangan Emmanuel Macron menentang pencabar dari parti sayap kanan Marine Le Pen dalam pilihan raya presiden Perancis pada Ahad bukan sahaja memberi kelegaan kepada pemimpin Eropah tetapi juga kepada dunia.
Pengarah di Pejabat Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Shahriman Lockman memberitahu Bernama sekiranya Le Pen menang, hubungan Perancis dengan dunia Islam akan menjadi tegang kerana perjuangannya menentang "fundamentalisme Islam".
"Langkah-langkah sosial yang didukung Le Pen, termasuk rancangan mengharamkan pemakaian tudung di khalayak ramai serta menyekat faedah perumahan dan kebajikan kepada warga Perancis turut memberi kesan buruk kepada masyarakat Perancis sendiri.
"Malaysia sepatutnya lega kerana Le Pen tidak menerajui satu daripada kuasa utama Eropah.
"Kita (Malaysia) tidak mahu melihat lebih banyak kemudaratan terhadap hubungan antara Barat dan dunia Islam," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Bukan itu sahaja, kesombongan Le Pen terhadap Kesatuan Eropah (EU) boleh memberi kesan besar kepada blok itu, katanya.
"Ia akan menjadikan EU kurang menonjol di pentas antarabangsa. Strategi EU untuk meningkatkan kerjasama di rantau Indo-Pasifik juga akan terencat," katanya.
Pendiriannya dalam menentang globalisasi dan cadangan pembaharuan ekonomi yang tidak mesra akan menjadikan Perancis sebagai negara kurang mesra perniagaan dan merosakkan daya saing untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun, penganalisis itu berpendapat hubungan dua hala dengan Malaysia secara asasnya tidak berubah atau sebaliknya jika keputusan pilihan raya berbeza.
"Namun, ia satu yang amat melegakan," katanya.
Menurut laporan media, Macron telah memenangi pemilihan presiden Perancis untuk penggal kedua pada Ahad.
Calon Parti La Republique En Marche!, itu memperoleh 58.6 peratus atau 18,779,809 undi, manakala pencabarnya Le Pen hanya memperoleh 13,297,760 undi, atau 41.46 peratus.
-- BERNAMA
#Emmanuel Macron #Le Pen #pilihan raya presiden #dunia Islam
;