Kemelut tapak bazar Ramadan: DBKL, peniaga temui jalan penyelesaian
Hasimi Muhamad
April 19, 2019 17:42 MYT
April 19, 2019 17:42 MYT
Kemelut membabitkan tapak bazar Ramadan antara persatuan peniaga dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akhirnya menemui jalan penyelesaian positif bagi kedua-dua pihak.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah berkata, DBKL telah bersetuju untuk bersama-sama menguruskan 55 lokasi bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, 50 lokasi telah diserahkan kepada pihak persatuan sementara lima lagi lokasi dikendalikan oleh DBKL.
Namun, kesemua lokasi itu masih di bawah pemantauan DBKL dalam usaha memastikan persatuan peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agensi tersebut.
“Konsepnya adalah tradisi, lima kawasan ini ditadbir oleh DBKL, maksudnya terus di bawah DBKL. Kalau sistem format untuk tidak memberi kepada persatuan, maknanya DBKL mahu uruskan semua 56 kawasan.
“Jadi, setelah pengumuman daripada pihak menteri (Wilayah Persekutuan) pada 4 April lalu, kami mengucapkan ribuan terima kasih kerana memahami (pengurusan semula tapak bazar). Kita ada perundingan lagi dengan pihak Dewan Bandar (Kuala Lumpur), jadi Datuk Bandar bersetuju bersama-sama,” katanya pada sidang media di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, pada Jumaat.
Lima lokasi yang diuruskan oleh DBKL termasuklah Jalan Raja, Jalan Telawi, Jalan Bangsar Utama, Jalan TAR dan Jalan Masjid India.
Jelas Mohamad, bazar Ramadan yang sebelum ini beroperasi di Jalan TAR tidak lagi dijalankan di lokasi tersebut, sebaliknya ia hanya diuruskan oleh peniaga-peniaga tradisi.
Pada 18 Mac lalu, DBKL memaklumkan rancangannya untuk memindahkan operasi bazar Ramadan di Lorong TAR-Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya pada tahun ini ke Jalan Raja, iaitu berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengurusan semula lokasi bazar Ramadan telah memudahkan ahli-ahli yang bernaung di bawah persatuan berkenaan untuk terus diberi peluang berniaga di tapak sedia ada.
Katanya, kira-kira 2,000 tapak bazar Ramadan disediakan di bawah persatuan dan proses permohonan bagi mendapatkan lokasi bazar Ramadan akan dihantar kepada DBKL dalam masa terdekat.
Ditanya mengenai sistem permohonan atas talian (online), Mohamad berkata pihaknya menyambut baik sistem baharu tersebut sesuai dengan peredaran semasa.
“Kalau ada masalah (permohonan atas talian), ia melibatkan individu yang berkemungkinan disebabkan oleh beberapa dokumen yang tidak lengkap atau rekod jenayah.
“Bagaimanapun, permohonan melalui persatuan dipermudahkan,” katanya.
Setakat ini, seramai 50,000 ahli bernaung di bawah PPPKMWP.