Kemelut pekebun durian Raub, kerajaan Pahang digesa jadi pemudahcara

Umavathi Ramayah
Ogos 25, 2020 18:33 MYT
Kerajaan negeri Pahang digesa untuk menjadi pemudahcara bagi menyelesaikan kemelut antara pekebun durian di Raub dan Royal Pahang Durian. - Gambar hiasan/Astro AWANI
Kerajaan negeri Pahang digesa untuk menjadi pemudahcara bagi menyelesaikan kemelut antara pekebun durian di Raub dan sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV), Royal Pahang Durian untuk mencari jalan penyelesaian berbentuk 'menang-menang' (win-win).
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Zin berkata, kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan terbaik dengan mengambil kira kebaikan kedua-dua pihak dalam menangani isu ini dengan teliti.
"Saya tidak menolak bahawa ada tujuan yang baik daripada kerajaan negeri untuk memutihkan tanah tidak berdaftar supaya industri durian lebih regulated dan menjaga mutu dan kualiti durian dan memenuhi Malaysian Good Agricultural Practices (myGAP).
"Kerajaan juga dijangka menambah pendapatan negeri sehingga RM500 juta setahun, tetapi hari kita semua ingat no farmers, no durians," katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini, pada Selasa.
Tindakan syarikat Royal Pahang Durian yang didakwa ingin memonopoli hasil durian dikatakan mencetus tentangan pada pekebun durian.
Pekebun mendakwa mereka menduduki tanah kerajaan berkaitan sejak 1970-an menerusi Rancangan Buku Hijau kerajaan Malaysia.
Dalam pada itu, Tze Zin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru itu juga mencadangkan satu penyelesian yang konstruktif kepada semua pihak dalam mengembangkan industri durian yang merupakan satu kejayaan kepada negara.
Sementara itu, beliau juga menasihati para pekebun durian untuk mencapai piawaian antarabangsa memandangkan durian Raub adalah hasil pertanian premium peringkat antarabangsa.
"Mereka (pekebun) harus mengambil krisis ini sebagai satu peluang transformasi," tambahnya.
#Dewan Rakyat #durian #kerajaan #Musang King #Pahang #Parlimen #Royal Pahang Durian
;